Wednesday, September 16, 2009

Ramadan yang bakal pergi

Oh Ramadan kau datang dan pergi
Kemunculanmu membawa rahmah
Pemergianmu membawa bekalan kami
Moga ianya diterima oleh Allah
Rabbil izzah

Kedatangan Ramadan sentiasa ditunggu-tunggu oleh mu'min yang sebenar-benarnya mengerti. Pemergiannya adalah dengan harapan beroleh kejayaan dan hasil tuaian yang memuaskan. Lalu ia diakhiri dengan sambutan dan perayaan memuji Allah atas segala ni'mat dan kurnianya. Moga umur dilanjutkan lagi di tahun hadapan untuk bertemumu kelak.

Mengimbas kembali sejak dari awal kedatangannya pada tahun ini, apakah sudah bertambah amalan kita atau masih ditahap yang sama atau makin menurun?
Antara amalan yang biasa kita lakukan selain kewajipan berpuasa ialah:

1. BERTADARUS
Ramadan bulan al-Quran. al-Quran diturunkan dari Luh Mahfuz ke dunia ini pada bulan ini. Oleh itu para muslimin muslimat mengambil peluang ini untuk membaca, membaiki bacaan dan memperdengarkan bacaan sebanyak yang mungkin. Ada yang mampu mengkhatamkan al-Quran sekali atau lebih bila melakukan secara berjamaah di surau dan masjid atau di mana-mana sahaja tempat perkumpulan. Sekiranya pada tahun ini kita mampu mengkhatamkan Quran dengan bacaan yang baik, alhamdulillah. Seeloknya, pada tahun hadapan dapatlah pula kita cuba memahaminya pula dengan bacaan tafsir dan begitulah perlunya ada peningkatan dari tahun ke tahun.

2. BERSEDEKAH
Kita berpuasa menahan lapar dan dahaga menyebabkan kita terkenang akan saudara-saudara kita yang tidak mampu menahan lapar dan dahaga mereka bukan hanya sebulan bahkan pada setiap bulan. Oleh itu, tangan merasa lebih ringan untuk berkongsi ni'mat Allah dan memberikan sedikit kegembiraan kepada mereka.Sekiranya pada tahun ini kita mampu memberi mereka makan dan minum, diharap pada tahun hadapan lebih ramai lagi muslimin yang lebih memerlukan di Somalia, Sudan dan sebagainya dapat kita hulurkan melalui agensi yang mengurus mereka. Usahlah kita menjamu orang yang sudah kaya dan berkemampuan, kerana mereka tidak menghargai erti setiap biji nasi yang dibiar dan dibuang begitu sahaja dalam tong sampah tanpa dimakan dengan licin sebagaimana yang berlaku di hotel-hotel.

3. BERIBADAT
Di bulan yang biasa, kita tidak mampu untuk melakukan solat sunat dengan kadar yang banyak. Bulan yang penuh keberkatan ini menyebabkan kita berlumba untuk merebut peluang berganda, bonus, dividen dan pelbagai keuntungan dengan melakukan solat-solat sunat. Solat ini menjadikan kita lebih dekat dengan Allah. Sekiranya pada tahun ini kita mampu melakukan rawatib, tarawih, dhuha, tahajud dan witir dengan kadar minimum, kita berdoa moga pada tahun hadapan kita mampu lakukan dengan kadar yang maksimum dan dengan bacaan yang lebih panjang serta kadar kefahaman yang lebih mendalam. Dengan ini diharapkan kecintaan kepada Allah semakin utuh.

Marilah kita sama-sama berdoa kita bukan hanya berpakaian baru dan segalanya baru dihari raya, tetapi apa yang lebih utama kita mendapat CINTA ALLAH dan IMAN yang baru untuk kita hiasi sehingga Ramadhan tahun depan menjelma sekali lagi...