Saturday, May 23, 2009

Solat

أن الصلاة كانت على المؤمنين كتابا موقوتا

Firman Allah di atas menunjukkan dengan jelas kewajipan solat ke atas orang-orang mu'min. Walaubagaimanapun tatacaranya tidak disebut di dalam al-Quran. Oleh itu apakah solat dan bagaimana caranya sudah tentulah kita merujuk kepada utusan Allah, Nabi Muhammad saw. kerana sudah tentu solat yang dilakukan Nabi mendapat panduan Ilahi.Sementara itu, untuk mendapatkan solat yang sempurna perlulah kita menghayati konsep ibadah ini supaya kita jelas matlamatnya.

Ramai manusia menunaikan solat. Namun penghayatan solat itu berbeza dari seorang dengan yang lain. Ada yang memahami konsep solat sebagai kewajipan semata-mata. Ini bermakna dia menunaikan solat semata-mata ianya kewajipannya sahaja yang mesti dilakukan. Mungkin dia suka atau tidak suka dia mesti lakukan sebagai suatu bebanan ke atasnya; seperti seorang kanak-kanak melakukan solat kerana ianya suruhan dari ibu bapa, lalu dilakukannya. Mungkin juga kewajipan ini kerana takutkan siksaan Allah pada hari akhirat, atau kerana mengimpikan kehidupan di dalam syurga kelak. Oleh itu dia cuba dan berusaha melakukanya sebagaimana seorang murid disekolah yang melakukan kerja rumahnya kerana takut cikgunya mendenda jika tidak dilakukan atau mendapat pujian kerana melakukannya dengan baik sekali. Dalam keadaan seperti ini adakah nikmat yang diperolehi daripada ibadah ini? Mungkin juga dia akan mendapat faedah besar sekiranya melakukannya. Contohnya murid yang membuat latihan dan kerja rumahnya akan menjadi lebih pandai dan bertambah ilmu dan kemahiran, manakala yang cuai akan ketinggalan sedikit demi sedikit. Namun keseronokan melakukan kerja tersebut adakah dirasai? Pelajar yang melakukan tugasannya mungkin melakukannya dengan tekanan perasaan, menghabiskan kerja seadanya, atau sekiranya melakukannya dengan penuh perasaan, tentu akan mendapat kepuasan dari kerja yang dilakukannya.

Begitu juga dengan orang yang melakukan solat, sekiranya dia memahami konsep solat dengan sebetulnya sudah tentu dia akan merasai keseronokan melakukan ibadah ini. Solat itu Allah fardukan ke atas manusia sebagai hak Allah yang Maha Pencipta yang mesti disembah oleh sekalian makhluk. Namun manusia juga mendapat faedah darinya. Inilah penghubung antara makhluk dengan Penciptanya yang maha Agung. Penciptanya telah memperuntukkan waktu khas setiap individu muslim paling kurang 5 kali sehari untuk mendengar bicara hambanya itu, tidakkah seorang mu'min merasa bangga dapat berjumpa face to face -walaupun tiada kelihatan di mata kasar, namun Ia ada di hadapan ketika seseorang mu'min itu solat. Itulah masanya untuk mencurahkan segala perasaan, suka duka dunia tempat perantauan sementara ini,juga untuk memohon segala hajat yang diingini, juga untuk memohon kemaafan atas segala keterlanjuran yang dilakukan dan sebagainya lagi.

Solat itulah masanya berjumpa dengan Raja kita. Semakin banyak kita melakukan solat maknanya makin banyak kita ingin mengampu Tuhan supaya memberi perhatian kepada kita. Mintalah segala hajat di hati. Itulah waktunya. Tidakkah beruntung orang mu'min itu diberi anugerah sebegini?

Marilah kita solat dengan hati yang penuh keseronokan dan keikhlasan.

Friday, May 8, 2009

Majlis ilmu

Antara kelebihan mempelajari al-Quran dan memperdengarkannya di dalam majlis ilmu ialah mendapat keberkatan Ilahi dengan diberikan ketenangan jiwa dan dilingkungi rahmat Allah. Selain dari itu dia juga akan dihormati oleh para malaikat selain menjadi sebutan dan kebanggaAn Allah sebagaimana yang terdapat dalam Hadith Nabi SAW:

• حديث أبى هريرة رضي الله عنه عن النبي صلى الله عليه وسلم قال (ما اجتمع قوم في بيت من بيوت الله يتلون كتاب الله ويتدارسونه فيما بينهم إلا نزلت عليهم السكينة وغشيتهم الرحمة وحفتهم الملائكة وذكرهم الله فيمن عنده). (صحيح مسلم)