Thursday, April 2, 2009

Jom baca al-Quran


Al-Quran kalam Allah yang diturunkan kepada manusia sebagai panduan hidup. Ia mengandungi segala-galanya. Ia rahmat dan petunjuk Ilahi. Ia menjadi ubat dan memberi ketenangan kepada jiwa manusia. Ia merupakan hujjah Ilahi yang mana kelak menjadi bukti kasih sayang Allah terhadap hambaNya. Ia juga mampu memberi syafaat kepada pembacanya.


) وننزل من القرآن ما هو شفاء ورحمة للمؤمنين ولا يزيد الظالمين إلا خسارا] (الإسراء 57[
Dan kami turunkan daripada al-Quran itu apa yang menjadi penyembuh dan rahmat bagi orang-orang yang beriman dan bertambah rugilah orang-orang yang zalim.

)ما فرطنا في الكتاب من شئ] ( سورة الأنعام [38
Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab Al-Quran ini;

)يا أيها الناس قد جاءتكم موعظة من ربكم وشفاء لما في الصدور وهدى ورحمة للمؤمنين ] (يونس 57[
Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu, dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman.

حديث أبي أمامة الباهلي رضي الله عنه قال سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول: (اقرؤوا القرآن فإنه يأتي يوم القيامة شفيعاً لأصحابه.( صحيح مسلم
Daripada Abu Umamah r.a berkata : Aku mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda: Bacalah Al Quran sesungguhnya ia akan datang di hari kiamat sebagai syafa'at kepada pembacanya. ( Riwayat Muslim )


Keseluruhan al-Quran itu adalah mulia. Oleh itu marilah kita membaca dan mengamalkan keseluruhannya bukan hanya memilih sebahagian daripadanya dan meninggalkan ayat-ayat yang lain. Setiap huruf yang dibaca dengan baik itu dijanjikan pahala berganda. Apatah lagi yang dibaca, difahami, lalu diamalkan, tentulah mendapat keberkatan dari Allah SWT.

حديث عبد الله بن مسعود رضي الله عنه قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم (من قرأ حرفاً من كتاب الله فله به حسنة ، والحسنة بعشر أمثالها لا أقول (الم) حرف ولكن : ألف حرف ولام حرف ، وميم حرف). (صحيح الجامع 6469)

Daripada Ibnu Mas'ud r.a. ia berkata : Barangsiapa yang membaca satu huruf daripada Al Quran maka baginya satu kebaikan, satu kebaikan menyamai dengan sepuluh pahala, aku tidak bermaksud : Alif , Lam , Mim ialah satu huruf, tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf.( Riwayat Ad Darimi Tarmizi, beliau berkata hadis ini hasan sahih )

Sesungguhnya orang-orang yang betul-betul memahami al-Quran itu akan tunduk dan merendah diri di hadapan kebesaran Ilahi dan sentiasa merasa gerun dan takut untuk melanggar perintah Allah. Begitulah besarnya pengaruh ayat-ayat ini. Al-Quran itu menjadi peringatan yang berguna dan menjadi wasilah untuk mendekatkan diri kepada Allah Maha Pencipta. Oleh itu marilah kita sama-sama membaca dan menghayati al-Quran. Sekiranya tidak mampu untuk membacanya, hendaklah kita berusaha dari sekarang untuk mempelajarinya dari yang tahu. Semua perkara boleh dipelajari, apatah lagi al-Quran yang telah dipermudahkan oleh Allah bacaannya. Janganlah berlengah lagi kerana kita tidak tahu bila kita akan meninggal dunia fana ini. Sekiranya tidak dapat juga membacanya, perdengarkanlah al-Quran, semoga kita mendapat rahmat juga dengan mendengar kalam suci ini. Manakala bagi mereka yang telah mempelajari al-Quran hendaklah mengajar pula mereka yang tidak tahu membacanya. Semoga dengan ini tiada lagi yang buta al-Quran.


)وإذا قرئ القرآن فاستمعوا له وأنصتوا لعلكم ترحمون( الأعراف 204 – 206

Dan apabila Al-Quran itu dibacakan, maka dengarlah akan dia serta diamlah (dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya), supaya kamu beroleh rahmat.


حديث عثمان رضي الله عنه : عن النبي صلى الله عليه وسلم قال: (خيركم من تعلم القرآن وعلمه). صحيح البخاري
Daripada Osman Bin 'Affan r.a. telah berkata: Rasulullah S.A.W. bersabda : Sebaik manusia di antara kamu orang yang mempelajari Al Quran dan mengajarnya kepada orang lain.( Riwayat Bukhari )


****