Saturday, October 31, 2009

surah al-kafirun

al-kafirun bermaksud orang-orang kafir
-surah ke 109
- diturunkan di Mekah
jumlah ayat: 6

سُوۡرَةُ الکافِرون
بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
قُلۡ يَـٰٓأَيُّہَا ٱلۡڪَـٰفِرُونَ (١) لَآ أَعۡبُدُ مَا تَعۡبُدُونَ (٢) وَلَآ أَنتُمۡ عَـٰبِدُونَ مَآ أَعۡبُدُ (٣) وَلَآ أَنَا۟ عَابِدٌ۬ مَّا عَبَدتُّمۡ (٤) وَلَآ أَنتُمۡ عَـٰبِدُونَ مَآ أَعۡبُدُ (٥) لَكُمۡ دِينُكُمۡ وَلِىَ دِينِ (٦)
TERJEMAHANNYA:
1.Katakanlah(wahai Muhammad):"Hai orang-orang kafir!

2."Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah.

3."Dan kamu tidak akan menyembah(Allah)yang aku sembah.

4."Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat.

5."Dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat.

6."Bagi kamu ugama kamu,bagiku ugamaku"


Sikap orang-orang kafir
Surah ini menceritakan tentang sikap orang kafir yang perlu diketahui dan perhatikan oleh orang Muslimin supaya tidak terpengaruh dan tergelincir ke jalan mereka yang sesat lagi dimurkai.
Orang kafir akan sentiasa berusaha menggoda orang Islam dengan dunia ini dan berusaha untuk menjatuhkan orang Islam dari ajarannya yang mulia lagi suci. Ini terbukti dalam sejarah ketika ayat ini diturunkan, orang-orang kafir Quraisy setelah telah menawarkan pangkat, kedudukan dan harta kepada nabi Muhammad supaya beliau memberhentikan ajaran Islam (yang jauh menyimpang dari agama yang telah dianuti mereka sejak turun temurun)tidak berhasil, mereka juga sanggup berkompromi (win-win situation) iaitu dengan menawarkan untuk melakukan ibadat Islam setahun dan setahun kemudian umat Islam pula melakukan ibadat orang kafir. Namun nabi merupakan orang yang terpilih untuk membawa ajaran Islam yang suci tidak terpengaruh sama sekali dengan tawaran ini kerana kepercayaan Islam ialah iman yang sepenuhnya dengan ajarannya. Setelah kebaikan dan kompromi yang ditawarkan tidak mendapat sambutan maka mereka bertukar menjadi ganas kerana mereka telah terdesak untuk menghentikan ajaran baru ini yang semakin mendapat sambutan dari segenap lapisan masyarakat.

Ayat-ayat surah ini merupakan bekalan bagi setiap umat Islam. (Prinsip Asas Muslim) Mereka akan berhadapan dengan orang kafir (yang sama sifatnya tanpa mengira zaman )tidak kira dimana mereka berada dan sebaik-baik pegangan mereka ketika bersama mereka ialah dengan ayat ini. Iaitu dari sudut amalinya tidak meniru agama mereka apa yang mereka sembah, manakala dari sudut perkataan dan teorinya perlu menafikan kesamaan antara agama Islam dengan agama yang lain.

Ini menunjukkan selagi adanya orang yang kafir(orang dunia), umat Islam akan sentiasa mendapat tekanan atau godaan supaya mengikut dan meninggalkan ajaran Ilahi ini yang diluar kemampuan manusia untuk memikirkannya (dunia sementara dan alam akhirat yang abadi). Apabila umat Islam terpengaruh, maka samalah mereka seperti masyarakat yang lain di dunia ini yang melakukan sesuatu mengikut keterbatasan akalnya.

Untuk mendapat semangat yang kuat menghadapi pelbagai tentangan ini dan mengekalkan akidah dan ibadah kita sebagai umat Islam hendaklah kita mengamalkan surah ini sebanyak-banyak pengulangan ayat berserta makna sebagaimana yang diamalkan oleh Rasulullah SAW yang sering membaca surah ini bersama dengan surah al-Ikhlas di dalam solat sunat Fajar/ Subuh dan solat sunat selepas tawaf sebagaimana yang diriwayatkan dalam riwayat Muslim:

ثَبَتَ فِي صَحِيح مُسْلِم عَنْ جَابِر أَنَّ رَسُول اللَّه صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَرَأَ بِهَذِهِ السُّورَة وب " قُلْ هُوَ اللَّه أَحَد " فِي رَكْعَتَيْ الطَّوَاف وَفِي صَحِيح مُسْلِم مِنْ حَدِيث أَبِي هُرَيْرَة أَنَّ رَسُول اللَّه صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَرَأَ بِهِمَا فِي رَكْعَتَيْ الْفَجْر

Surah ini juga seeloknya dibaca sebelum kita tidur (mati sementara) untuk menjelas dan menyatakan akidah yang kita pegang. Selain itu ia juga dibaca dalam solat witir akhir oleh Rasulullah SAW.

PRINSIP ASAS UMAT ISLAM

لا اعبد ما تعبدون
A'budu dalam bentuk kata perbuatan sedang dan akan. present/present continuos/future tense..
Aku kini dan akan datang tidak akan menyembah apa yang enfkau sembah..
ولا انتم عابدون ما اعبد
aabiduna dalam bentuk kata pembuat memberi makna sifat
Dan kamu wahai orang kafir sifat engkau tidak menyembah apa yang aku sembah yakni Allah.

ولا انا عابد ما عبدتم
Aabidun dalam bentuk kata pembuat memberi makna sifat
Dan aku sifatku aku tidak menyembah apa yang kamu sembah.
Selamanya aku tidak akan redha kamu mengambil kesempatan atas agamaku walau dalam apa sekalipun.

ولا انتم عابدون ما اعبد
aabiduna dalam bentuk kata pembuat memberi makna sifat

Dan kamu wahai orang kafir sifat engkau tidak menyembah apa yang aku sembah yakni Allah. Penegasan kali kedua menjelaskan pendirian orang kafir yang sama terhadap umat Islam iaitu mereka tidak akan redha kita memilih Islam.

 لكم دينكم ولي دين
 agamamu dan agamaku tidak sama sekali akan bercampuraduk. Agamaku tidak akan sama sekali berkompromi atau menyerupai agamu.

 Dengan lafaz ini sedarlah umat Islam bahawa janganlah mereka cuba mengikut, meniru atau mempersamakan dengan agama musuh Allah dalam segenap bidang kehidupan mereka. Kita umat Muhammad yang mendokong Islam tidak sama dengan mereka. Orang mu'min yang kuat berpegang pada asas ini tidak akan terpengaruh dengan sebarang diayah dan propaganda orang kafir yang membuat pelbagai helah untuk menjerumuskan akidah umat Islam ke dalam lurah mereka yang sesat..
Baca lanjut di sini.

Wa'Lahu A'lam.

surah an-nasr

Surah ke : 110
Jumlah ayat : 3
Diturunkan di Mekkah 
سُوۡرَةُ النّصر
بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
إِذَا جَآءَ نَصۡرُ ٱللَّهِ وَٱلۡفَتۡحُ (١) وَرَأَيۡتَ ٱلنَّاسَ يَدۡخُلُونَ فِى دِينِ ٱللَّهِ أَفۡوَاجً۬ا (٢) فَسَبِّحۡ بِحَمۡدِ رَبِّكَ وَٱسۡتَغۡفِرۡهُ‌ۚ إِنَّهُ ۥ ڪَانَ تَوَّابَۢا (٣)

 TERJEMAHANNYA:

1.Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan(semasa engkau wahai Muhammad berjaya menguasai negeri Mekah)

2.Dan engkau melihat manusia masuk dalam ugama Allah beramai-ramai

3.Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepadanya,sesungguhnya Ia sangat-sangat menerima taubat.

Tasbih
Tasbih bererti seci dari segala kekurangan. Menurut Sheikh Uthaimin terdapat 3 perkara ketika kita mengucapkan tasbih; iaitu :
- menyucikan Allah dari sebarang bentuk kekurangan.
-menyucikan Allah dari kekurangan ketika penyempurnaan kerja seperti sifat letih, rehat dsb
- tidak menyekutukan Allah SWT


Taubat
Taubat bereerti kembali; iaitu kembali kepada fitrah manusia yang suci murni sebagaimana yang Allah jadikan. Lihatlah seorang bayi yang baru dilahirkan sikapnya bersih dari segala noda dan dosa. Fitrahnya sejak dari penciptaannya dan berada di Luh Mahfuz lagi sebelum dihidupkan secara fizikal di dalam rahim telah mengakui keesaan Allah SWT dan patuh padaNya. Apabila seseorang semakin membesar dan semakin banyak yang diketahui oleh manusia fitrahnya terpaksa bertarung dengan nafsu, syaitan dan pelbagai halangan. Kini diri manusia tidak diabdikan sepenuhnya pada Tuhan yang Esa, bahkan kebanyakan dari masa manusia lalai dariNya, melebihkan perkara dunia daripada hak penciptanya.. Dalam banyak keadaan manusia sentiasa melakukan dosa secara diketahuinya atau tanpa disedarinya. Oleh itu manusia sentiasa perlu bertaubat dan kembali kepada Allah SWT.

Sifat Allah SWT ialah al-tawwab yang bermaksud yang sentiasa menerima taubat. Manusia seringkali mengulagi dosa, namun Allah SWT tidak pernah jemu-jemu untuk menerima taubat yang berulang-ulang. Sebelum hambaNya memohon taubat Allah SWT telah pun memberi taubatnya dan selepas ia memohon taubat ia memperkenankan taubat itu. Begitulah pemaafnya Allah SWT. Sedangkan kita apabila orang membuat salah kepada kita cukuplah berat kita untuk memaafkannya melainkan setelah berlalunya sedikit waktu. Namun Allah SWT yang memberi pelbagai nikmat dan memaafkan lagi hambanya yang engkar walaupun diberi pelbagai nikmat..


Para rasul dan Nabi adalah golongan manusia yang paling banyak bertaubat. Oleh itu mereka amat dikasihi oleh Allah SWT. Allah SWT memuji-muji para rasulnya seperti Nabi Ibrahim, Muhammad, Daud, Idris dan sebagainya yang sentiasa bertaubat walaupun diri mereka terpelihara dari dosa dan noda. Oleh itu kita manusia biasa yang setiap masa lalai dari zikrullah hendaklah juga sentiasa bertasbih dan meminta ampun serta taubat untuk memperoleh rahmat dan keampunan Ilahi. Sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat walaupun manusia tidak pernah serik membuat dosa. Maha Suci Allah yang sungguh sabar dengan kerenah hamba-hambaNya.

Baca lebih lanjut di sini.. 

surah al-masad

al-masad bermaksud tali yang dipintal.
surah ke 111.
diturunkan di Mekah
jumlah ayat: 5

1.Binasalah kedua-dua tangan Abu Lahab,dan binasalah ia bersama

2.Hartanya dan segala yang diusahakannya,tidak dapat menolongnya.

3.Ia akan menderita bakaran api neraka yang marak menjulang.

4.Dan juga isterinya,seorang perempuan pemunggah kayu api.

5.Dilehernya sejenis tali,dari tali-tali yang dipintal.


Siapakah Abu Lahab dan isteri
Abu Lahab salah seorang bapa saudara sebelah ayah baginda Rasul saw. Nama beliau yang sebenar ialah Abu al-Uzza bin Abdul Mutolib. Beliau diberi gelaran Abu Lahab. Lahab bermaksud marak merah menyala kerana wajahnya yang kemerah-merahan. Namun dengan perbuatannya ke atas Nabi Muhammad saw ia juga menjadi gelaran yang bermaksud yang akan terbakar dalam api marak.
Beliau tinggal berhampiran dengan Nabi (jiran), dan orang yang paling tidak senang dengan Nabi, ini kerana beliau seorang yang sangat kuat berpegang pada adat budaya nenek moyangnya yang menyembah berhala, kepercayaan dan pegangan kepada agama keturunan . Oleh itu apa yang dibawa oleh Nabi sememangnya tidak selari dengannya dan amat dibencinya.
Beliau juga antara yang berkuasa dan berpengaruh dikalangan orang Quraisy, serta berharta. Oleh itu beliau amat mementingkan kebendaan dan tidak suka dengan agama yang dibawa oleh Nabi yang menyamaratakan antara yang kaya dan miskin serta tidak mementingkan pangkat dan harta benda. Oleh itu bagi beliau apa yang dibawa oleh anak saudara beliau tidak menguntungkannya bahkan boleh membawa kepada kepupusan hartanya.Oleh itu beliau cuba sedaya-upaya menyekat kemaraan agama Islam bahkan membuat pelbagai cubaan untuk menghapuskan Nabi.
Sifat ini makin menjadi-jadi dengan adanya isterinya Ummu Jamil Arwa yang juga seorang yang berpengaruh dalam masyarakat dan mempunyai sifat yang sama sebagaimana suaminya. Sifat Ummu Jamil sukakan mengumpat keji dan menghina Nabi, serta membuat pelbagai usaha untuk menyusahkan Nabi.

Pengajaran daripada ayat diatas:
Orang kafir ( sekalipun dikalangan keluarga sendiri )membuat pelbagai usaha dan helah untuk menjatuhkan Islam dan pemimpinnya. Walaupun mereka boleh membuat apa saja yang mereka suka di dunia ini namun sebenarnya mereka itu hina dan akan diberikan kehinaan yang lebih besar di Akhirat kelak dan balasan yang diterima ialah api neraka yang marak menjulang membakar tubuh mereka berkali-kali.

surah al-ikhlas

1.Katakanlah (wahai muhammad):"(Tuhanku ialah Allah Yang Maha Esa.

2."Allah yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat.

3."Ia tiada beranak,dan Ia pula tidak diperanakkan.

4."Dan tidak ada sesiapapun yang setara dengannya"

surah al-falaq

1.Katakanlah (wahai muhammad):"aku berlindung kepada (Allah) Tuhan yang menciptakan sekalian makhluk.

2."Dari bencana makhluk-makhluk yang Ia ciptakan.

3."Dan dari bahaya gelap apabila ia masuk.

4."Dan dari kejahatan makhluk-makhluk yang menghembus-hembus pada simpulan-simpulan (dan ikatan-ikatan).

5."dan dari kejahatan orang yang dengki apabila ia melakukan dengkinya"

Saturday, October 17, 2009

Surah an-nas

al-nas bermaksud manusia
surah ke 114 (terakhir)
jumlah ayat: 6

سُوۡرَةُ النَّاس
بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
قُلۡ أَعُوذُ بِرَبِّ ٱلنَّاسِ (١) مَلِكِ ٱلنَّاسِ (٢) إِلَـٰهِ ٱلنَّاسِ (٣) مِن شَرِّ ٱلۡوَسۡوَاسِ ٱلۡخَنَّاسِ (٤) ٱلَّذِى يُوَسۡوِسُ فِى صُدُورِ ٱلنَّاسِ (٥) مِنَ ٱلۡجِنَّةِ وَٱلنَّاسِ (٦)
1. katakanlah (wahai muhammad):"aku berlindung kepada (Allah) Pemelihara sekalian
manusia.

2."Yang menguasai sekalian manusia,

3."Tuhan yang berhak disembah oleh sekalian manusia,

4."Dari kejahatan pembisik,penghasut yang timbul tenggelam,

5."Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia,

6."(Iaitu pembisik dan penghasut)dari kalangan jin dan manusia"

سُورَة النَّاس مِثْل " الْفَلَق " لِأَنَّهَا إِحْدَى الْمُعَوِّذَتَيْنِ . وَرَوَى التِّرْمِذِيّ عَنْ عُقْبَة بْن عَامِر الْجُهَنِيّ عَنْ النَّبِيّ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : ( لَقَدْ أَنْزَلَ اللَّه عَلَيَّ آيَات لَمْ يُرَ مِثْلهنَّ : " قُلْ أَعُوذ بِرَبِّ النَّاس " إِلَى آخِر السُّورَة " وَقُلْ أَعُوذ بِرَبِّ الْفَلَق " إِلَى آخِر السُّورَة ) . وَقَالَ : هَذَا حَدِيث حَسَن صَحِيح . وَرَوَاهُ مُسْلِم .



Manusia dan pencipta
Manusia ialah kejadian atau ciptaan Allah. Untuk lebih menjelaskan hubungan pencipta dan barangan ciptaan, cuba kita bayangkan ciptaan manusia contohnya kereta, kipas, rumah, alatan dsb. Semua yang kita ciptakan itu kaku walaupun telah dipasangkan dengan pelbagai peralatan mekanikal didalamnya kecuali ada sesuatu yang menggerakkannya. Contohnya kipas memerlukan tenaga elektrik dibekalkan kepadanya, barulah ia akan bergerak dan berfungsi sebagaimana yang dikehendaki.Begitu juga kereta, semuanya telah dipasangkan di dalamnya untuk ia bergerak, tetapi ia memerlukan pemandu yang menggerakkannya. Walaupun kelak mungkin pemandu tidak diperlukan tetapi akan tetap ada manusia yang mengawalnya dari jauh (remote control). Sekiranya pemandu/pengawal ini tidak mahu menjalankannya ia tetap tidak bergerak. Begitu juga dengan manusia. Bergeraknya ia di atas muka bumi ini melakukan pelbagai tugasan ialah dengan digerakkan oleh Penciptanya Allah SWT. Oleh itu segala yang baik atau buruk itu tidak akan terjadi kecuali dengan izin Allah.

Allah telah membekalkan manusia dengan anggota zahir yang berperanan menggerakkan manusia menjalani kehidupan sehariannya bermula dari sistem pernafasan hinggalah kepada sistem perkumuhan. Namun apa yang membentuk daging,akal dan hatinya datangnya dari pelbagai ramuan hasil dari apa yang diperoleh oleh manusia itu sendiri. Itulah yang membezakan seorang manusia dari manusia yang lain. Itulah yang juga menjadi perkara yang akan dihisab oleh pencipta kita dan menentukan darjat kita disisiNya. Inilah yang membezakan manusia dari para malaikat solehin yang hanya dicipta untuk mengabdikan diri kepada Allah. Manusia bebas untuk memilih kehendaknya. Kehendak ini juga dikenali sebagai nafsubatin. Sekiranya nafsu makan yang menjadi kehendaknya, maka ia akan menyuburkan dagingnya. Sekiranya nafsunya ialah nafsu akal maka akan suburlah akalnya, manakala sekiranya ia memilih hati yang mempunyai banyak persimpangan (waswas al-khannas) maka sekiranya baik, suburlah hatinya. Manakala pilihan yang buruk merosakkan hatinya.

Oleh itulah kita meminta perlindungan daripada pencipta kita supaya membuat pilihan yang baik dan juga meminta perlindungan daripada angkara kejahatan yang dipilih oleh manusia lain atau makhluk Allah yang lain yang boleh mempengaruhi kita dalam kepercayaan dan amal ibadat kita. Angkara batin ini hanya Allah yang lebih Mengetahui.Maka Allah lah sebaik-baik tempat untuk kita memohon perlindungan.


Syaitan

قَالَ تَعَالَى " وَكَذَلِكَ جَعَلْنَا لِكُلِّ نَبِيّ عَدُوًّا شَيَاطِين الْإِنْس وَالْجِنّ يُوحِي بَعْضهمْ إِلَى بَعْض زُخْرُف الْقَوْل غُرُورًا " .

. وَفِي الصَّحِيح عَنْ النَّبِيّ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : [ إِنَّ الشَّيْطَان يَجْرِي مِنْ اِبْن آدَم مَجْرَى الدَّم ]
.


وَقَدْ ثَبَتَ فِي الصَّحِيح أَنَّهُ " مَا مِنْكُمْ مِنْ أَحَد إِلَّا قَدْ وُكِّلَ بِهِ قَرِينه " قَالُوا وَأَنْتَ يَا رَسُول اللَّه قَالَ " نَعَمْ إِلَّا أَنَّ اللَّه أَعَانَنِي عَلَيْهِ فَأَسْلَمَ فَلَا يَأْمُرنِي إِلَّا بِخَيْرٍ " .

Friday, October 2, 2009

Pendidikan melalui Surah Lukman

Surah Luqman merupakan surah ke 31 dan berada dalam juz 21 al-Quran. Mengandungi 34 ayat. Ia merupakan surah Makkiyah yang sarat dengan hikmah dan pengajaran. Diberikan nama Luqman sempena seorang ahli hikmat lagi soleh yang menasihati anaknya dengan ilham Ilahi.Nasihat ini sesuai untuk sepanjang zaman kerana ia membicarakan persoalan akidah dan bagaimana menguruskan kehidupan.Oleh itu nasihat ini dijadikan sebagai teladan untuk umat Muhammad dan diabadikan kisahnya di dalam al-Quran.

Antara pendidikan yang diterapkan oleh Luqman kepada anaknya yang perlu menjadi ikutan kita ialah:

1. larangan daripada menyekutukan Allah
Oleh itu sebagai ibu bapa kita perlu banyak menceritakan tentang kehebatan Allah SWT dan kekuasaanNya mencipta langit, bumi dan segala yang ada termasuk diri kita dan anak-anak. Cerita-cerita kehebatan Allah ini mendorong anak-anak untuk mengenali siapakah Allah dan apabila anak-anak telah benar-benar mengenali Allah mereka tidak akan menyamakan Allah dengan apa jua sekalipun. Inilah perkara yang paling utama perlu anak pelajari supaya mereka tidak tergolong dalam kalangan mereka yang menzalimi diri.

2. perintah supaya membuat kebajikan kepada ibu bapa.
Kewujudan kita ialah dengan adanya ibubapa yang melahir dan membesarkan. Mereka telah diberi amanah oleh Allah untuk menjaga kita sejak dari kecil. oleh itu Allah telah memberikan mereka hak dan tempat yang istimewa supaya mereka sentiasa terbela dan tidak disia-siakan. Kemuliaan ini diberikan oleh Allah supaya mereka merasai hasil penat lelah mereka itu sejak dari dunia lagi dengan diletakkan ditempat yang tinggi.Oleh itu setinggi manapun pangkat anak, ibu bapa mereka lebih mulia lagi daripada mereka dan tidak boleh diperhambakan. Untuk mendapat penghormatan daripada anak, mulailah dengan memberikan contoh yang baik dan gaulilah anak dengan penuh kasih sayang dan hikmah.Oleh itu tidak sia-sia ibu bapa memberikan khidmat yang baik kepada anak-anak kerana Allah telah menjanjikan mereka di tempat yang mulia serta pembelaan kelak dihari tua mereka apabila anak-anak menabur kebajikan kepada mereka.

3. Perintah bersyukur kepada Allah dan kepada kedua ibubapa
Sesungguhnya orang yang bersyukur dengan segala apa yang ada padanya sebenarnya menghargai diri sendiri kerana kelak akan mendapat nikmat yang banyak di Akhirat nanti. Tanda kesyukuran ialah dengan pertautan dan pengabdian diri kepada Allah dan seterusnya kedua ibubapa dan melaksanakan segala perintah dan larangan Allah dan ibu bapa. Kedua ibu bapa telah lebih dahulu merasai asam garam dan hakikat kehidupan oleh itu dengan mentatai perintah dan larangan ibubapa membawa kita taat kepada perintah dan larangan Allah jua.

Wednesday, September 16, 2009

Ramadan yang bakal pergi

Oh Ramadan kau datang dan pergi
Kemunculanmu membawa rahmah
Pemergianmu membawa bekalan kami
Moga ianya diterima oleh Allah
Rabbil izzah

Kedatangan Ramadan sentiasa ditunggu-tunggu oleh mu'min yang sebenar-benarnya mengerti. Pemergiannya adalah dengan harapan beroleh kejayaan dan hasil tuaian yang memuaskan. Lalu ia diakhiri dengan sambutan dan perayaan memuji Allah atas segala ni'mat dan kurnianya. Moga umur dilanjutkan lagi di tahun hadapan untuk bertemumu kelak.

Mengimbas kembali sejak dari awal kedatangannya pada tahun ini, apakah sudah bertambah amalan kita atau masih ditahap yang sama atau makin menurun?
Antara amalan yang biasa kita lakukan selain kewajipan berpuasa ialah:

1. BERTADARUS
Ramadan bulan al-Quran. al-Quran diturunkan dari Luh Mahfuz ke dunia ini pada bulan ini. Oleh itu para muslimin muslimat mengambil peluang ini untuk membaca, membaiki bacaan dan memperdengarkan bacaan sebanyak yang mungkin. Ada yang mampu mengkhatamkan al-Quran sekali atau lebih bila melakukan secara berjamaah di surau dan masjid atau di mana-mana sahaja tempat perkumpulan. Sekiranya pada tahun ini kita mampu mengkhatamkan Quran dengan bacaan yang baik, alhamdulillah. Seeloknya, pada tahun hadapan dapatlah pula kita cuba memahaminya pula dengan bacaan tafsir dan begitulah perlunya ada peningkatan dari tahun ke tahun.

2. BERSEDEKAH
Kita berpuasa menahan lapar dan dahaga menyebabkan kita terkenang akan saudara-saudara kita yang tidak mampu menahan lapar dan dahaga mereka bukan hanya sebulan bahkan pada setiap bulan. Oleh itu, tangan merasa lebih ringan untuk berkongsi ni'mat Allah dan memberikan sedikit kegembiraan kepada mereka.Sekiranya pada tahun ini kita mampu memberi mereka makan dan minum, diharap pada tahun hadapan lebih ramai lagi muslimin yang lebih memerlukan di Somalia, Sudan dan sebagainya dapat kita hulurkan melalui agensi yang mengurus mereka. Usahlah kita menjamu orang yang sudah kaya dan berkemampuan, kerana mereka tidak menghargai erti setiap biji nasi yang dibiar dan dibuang begitu sahaja dalam tong sampah tanpa dimakan dengan licin sebagaimana yang berlaku di hotel-hotel.

3. BERIBADAT
Di bulan yang biasa, kita tidak mampu untuk melakukan solat sunat dengan kadar yang banyak. Bulan yang penuh keberkatan ini menyebabkan kita berlumba untuk merebut peluang berganda, bonus, dividen dan pelbagai keuntungan dengan melakukan solat-solat sunat. Solat ini menjadikan kita lebih dekat dengan Allah. Sekiranya pada tahun ini kita mampu melakukan rawatib, tarawih, dhuha, tahajud dan witir dengan kadar minimum, kita berdoa moga pada tahun hadapan kita mampu lakukan dengan kadar yang maksimum dan dengan bacaan yang lebih panjang serta kadar kefahaman yang lebih mendalam. Dengan ini diharapkan kecintaan kepada Allah semakin utuh.

Marilah kita sama-sama berdoa kita bukan hanya berpakaian baru dan segalanya baru dihari raya, tetapi apa yang lebih utama kita mendapat CINTA ALLAH dan IMAN yang baru untuk kita hiasi sehingga Ramadhan tahun depan menjelma sekali lagi...

Saturday, May 23, 2009

Solat

أن الصلاة كانت على المؤمنين كتابا موقوتا

Firman Allah di atas menunjukkan dengan jelas kewajipan solat ke atas orang-orang mu'min. Walaubagaimanapun tatacaranya tidak disebut di dalam al-Quran. Oleh itu apakah solat dan bagaimana caranya sudah tentulah kita merujuk kepada utusan Allah, Nabi Muhammad saw. kerana sudah tentu solat yang dilakukan Nabi mendapat panduan Ilahi.Sementara itu, untuk mendapatkan solat yang sempurna perlulah kita menghayati konsep ibadah ini supaya kita jelas matlamatnya.

Ramai manusia menunaikan solat. Namun penghayatan solat itu berbeza dari seorang dengan yang lain. Ada yang memahami konsep solat sebagai kewajipan semata-mata. Ini bermakna dia menunaikan solat semata-mata ianya kewajipannya sahaja yang mesti dilakukan. Mungkin dia suka atau tidak suka dia mesti lakukan sebagai suatu bebanan ke atasnya; seperti seorang kanak-kanak melakukan solat kerana ianya suruhan dari ibu bapa, lalu dilakukannya. Mungkin juga kewajipan ini kerana takutkan siksaan Allah pada hari akhirat, atau kerana mengimpikan kehidupan di dalam syurga kelak. Oleh itu dia cuba dan berusaha melakukanya sebagaimana seorang murid disekolah yang melakukan kerja rumahnya kerana takut cikgunya mendenda jika tidak dilakukan atau mendapat pujian kerana melakukannya dengan baik sekali. Dalam keadaan seperti ini adakah nikmat yang diperolehi daripada ibadah ini? Mungkin juga dia akan mendapat faedah besar sekiranya melakukannya. Contohnya murid yang membuat latihan dan kerja rumahnya akan menjadi lebih pandai dan bertambah ilmu dan kemahiran, manakala yang cuai akan ketinggalan sedikit demi sedikit. Namun keseronokan melakukan kerja tersebut adakah dirasai? Pelajar yang melakukan tugasannya mungkin melakukannya dengan tekanan perasaan, menghabiskan kerja seadanya, atau sekiranya melakukannya dengan penuh perasaan, tentu akan mendapat kepuasan dari kerja yang dilakukannya.

Begitu juga dengan orang yang melakukan solat, sekiranya dia memahami konsep solat dengan sebetulnya sudah tentu dia akan merasai keseronokan melakukan ibadah ini. Solat itu Allah fardukan ke atas manusia sebagai hak Allah yang Maha Pencipta yang mesti disembah oleh sekalian makhluk. Namun manusia juga mendapat faedah darinya. Inilah penghubung antara makhluk dengan Penciptanya yang maha Agung. Penciptanya telah memperuntukkan waktu khas setiap individu muslim paling kurang 5 kali sehari untuk mendengar bicara hambanya itu, tidakkah seorang mu'min merasa bangga dapat berjumpa face to face -walaupun tiada kelihatan di mata kasar, namun Ia ada di hadapan ketika seseorang mu'min itu solat. Itulah masanya untuk mencurahkan segala perasaan, suka duka dunia tempat perantauan sementara ini,juga untuk memohon segala hajat yang diingini, juga untuk memohon kemaafan atas segala keterlanjuran yang dilakukan dan sebagainya lagi.

Solat itulah masanya berjumpa dengan Raja kita. Semakin banyak kita melakukan solat maknanya makin banyak kita ingin mengampu Tuhan supaya memberi perhatian kepada kita. Mintalah segala hajat di hati. Itulah waktunya. Tidakkah beruntung orang mu'min itu diberi anugerah sebegini?

Marilah kita solat dengan hati yang penuh keseronokan dan keikhlasan.

Friday, May 8, 2009

Majlis ilmu

Antara kelebihan mempelajari al-Quran dan memperdengarkannya di dalam majlis ilmu ialah mendapat keberkatan Ilahi dengan diberikan ketenangan jiwa dan dilingkungi rahmat Allah. Selain dari itu dia juga akan dihormati oleh para malaikat selain menjadi sebutan dan kebanggaAn Allah sebagaimana yang terdapat dalam Hadith Nabi SAW:

• حديث أبى هريرة رضي الله عنه عن النبي صلى الله عليه وسلم قال (ما اجتمع قوم في بيت من بيوت الله يتلون كتاب الله ويتدارسونه فيما بينهم إلا نزلت عليهم السكينة وغشيتهم الرحمة وحفتهم الملائكة وذكرهم الله فيمن عنده). (صحيح مسلم)

Thursday, April 2, 2009

Jom baca al-Quran


Al-Quran kalam Allah yang diturunkan kepada manusia sebagai panduan hidup. Ia mengandungi segala-galanya. Ia rahmat dan petunjuk Ilahi. Ia menjadi ubat dan memberi ketenangan kepada jiwa manusia. Ia merupakan hujjah Ilahi yang mana kelak menjadi bukti kasih sayang Allah terhadap hambaNya. Ia juga mampu memberi syafaat kepada pembacanya.


) وننزل من القرآن ما هو شفاء ورحمة للمؤمنين ولا يزيد الظالمين إلا خسارا] (الإسراء 57[
Dan kami turunkan daripada al-Quran itu apa yang menjadi penyembuh dan rahmat bagi orang-orang yang beriman dan bertambah rugilah orang-orang yang zalim.

)ما فرطنا في الكتاب من شئ] ( سورة الأنعام [38
Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab Al-Quran ini;

)يا أيها الناس قد جاءتكم موعظة من ربكم وشفاء لما في الصدور وهدى ورحمة للمؤمنين ] (يونس 57[
Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu, dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman.

حديث أبي أمامة الباهلي رضي الله عنه قال سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول: (اقرؤوا القرآن فإنه يأتي يوم القيامة شفيعاً لأصحابه.( صحيح مسلم
Daripada Abu Umamah r.a berkata : Aku mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda: Bacalah Al Quran sesungguhnya ia akan datang di hari kiamat sebagai syafa'at kepada pembacanya. ( Riwayat Muslim )


Keseluruhan al-Quran itu adalah mulia. Oleh itu marilah kita membaca dan mengamalkan keseluruhannya bukan hanya memilih sebahagian daripadanya dan meninggalkan ayat-ayat yang lain. Setiap huruf yang dibaca dengan baik itu dijanjikan pahala berganda. Apatah lagi yang dibaca, difahami, lalu diamalkan, tentulah mendapat keberkatan dari Allah SWT.

حديث عبد الله بن مسعود رضي الله عنه قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم (من قرأ حرفاً من كتاب الله فله به حسنة ، والحسنة بعشر أمثالها لا أقول (الم) حرف ولكن : ألف حرف ولام حرف ، وميم حرف). (صحيح الجامع 6469)

Daripada Ibnu Mas'ud r.a. ia berkata : Barangsiapa yang membaca satu huruf daripada Al Quran maka baginya satu kebaikan, satu kebaikan menyamai dengan sepuluh pahala, aku tidak bermaksud : Alif , Lam , Mim ialah satu huruf, tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf.( Riwayat Ad Darimi Tarmizi, beliau berkata hadis ini hasan sahih )

Sesungguhnya orang-orang yang betul-betul memahami al-Quran itu akan tunduk dan merendah diri di hadapan kebesaran Ilahi dan sentiasa merasa gerun dan takut untuk melanggar perintah Allah. Begitulah besarnya pengaruh ayat-ayat ini. Al-Quran itu menjadi peringatan yang berguna dan menjadi wasilah untuk mendekatkan diri kepada Allah Maha Pencipta. Oleh itu marilah kita sama-sama membaca dan menghayati al-Quran. Sekiranya tidak mampu untuk membacanya, hendaklah kita berusaha dari sekarang untuk mempelajarinya dari yang tahu. Semua perkara boleh dipelajari, apatah lagi al-Quran yang telah dipermudahkan oleh Allah bacaannya. Janganlah berlengah lagi kerana kita tidak tahu bila kita akan meninggal dunia fana ini. Sekiranya tidak dapat juga membacanya, perdengarkanlah al-Quran, semoga kita mendapat rahmat juga dengan mendengar kalam suci ini. Manakala bagi mereka yang telah mempelajari al-Quran hendaklah mengajar pula mereka yang tidak tahu membacanya. Semoga dengan ini tiada lagi yang buta al-Quran.


)وإذا قرئ القرآن فاستمعوا له وأنصتوا لعلكم ترحمون( الأعراف 204 – 206

Dan apabila Al-Quran itu dibacakan, maka dengarlah akan dia serta diamlah (dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya), supaya kamu beroleh rahmat.


حديث عثمان رضي الله عنه : عن النبي صلى الله عليه وسلم قال: (خيركم من تعلم القرآن وعلمه). صحيح البخاري
Daripada Osman Bin 'Affan r.a. telah berkata: Rasulullah S.A.W. bersabda : Sebaik manusia di antara kamu orang yang mempelajari Al Quran dan mengajarnya kepada orang lain.( Riwayat Bukhari )


****